fb fb fb fb fb

USM kekal universiti keempat terbaik dunia

(FOTO HIASAN)

GEORGE TOWN, 2 Jun - Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mengekalkan kedudukan keempat terbaik dunia dan pertama di Asia dalam senarai terkini The Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023.

USM juga berjaya mengungguli kedudukan pertama dalam Sustainable Development Goals (SDG) SDG16 iaitu Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Ir Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata sebagai satu-satunya Universiti APEX di Malaysia, USM memahami bahawa amalan kelestarian melangkaui batas akademik dan ia juga bertujuan untuk memberi inspirasi kepada pelajar serta kakitangan supaya menjadi warga global yang bertanggungjawab.

(USM juga berjaya mengungguli kedudukan pertama dalam Sustainable Development
Goals (SDG) SDG16 iaitu Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh / FOTO HIASAN)

"Ini menyaksikan status Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) yang dianugerahkan kepada USM berjaya direalisasikan melalui visi Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok dan moto “Kami Memimpin”.

"Dengan menerapkan prinsip kelestarian dalam pengajaran dan penyelidikannya, USM memperkasakan individu untuk menangani cabaran kompleks melalui penyelesaian inovatif," katanya menerusi kenyataan.

Datuk Ir Dr. Abdul Rahman turut memaklumkan, senarai THE Impact Rankings 2023 melibatkan penilaian terhadap 1,591 institusi di seluruh dunia berbanding 1,410 institusi pada tahun lepas dan dilaksanakan berdasarkan pencapaian dalam aktiviti serta program yang berkaitan dengan kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam SDG itu.

Pada tahun 2022, kedudukan keempat dikongsi antara USM dan Universiti King Abdul Aziz, Arab Saudi.

Media Baharu