KUALA LUMPUR, 7 Ogos - Kerajaan terus komited memperkasa syarikat milikan kaum India melalui kelulusan geran berjumlah RM2.01 juta kepada 35 syarikat di bawah Program Business Accelerator untuk Syarikat Milikan India (I-BAP) 2025.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam menyokong pembangunan ekonomi komuniti India melalui pemerkasaan perusahaan milikan tempatan.
Katanya, sebanyak 31 syarikat menerima surat tawaran hari ini dengan nilai geran antara RM7,000 hingga RM100,000 mengikut skop dan keperluan masing-masing.
Mengambil kira sambutan memberangsangkan daripada usahawan India, beliau memaklumkan, syarat kelayakan permohonan geran akan diperluaskan agar lebih ramai usahawan menyertai dan memanfaatkan program tersebut.
"Geran padanan akan dinaik taraf daripada 50:50 kepada 70:30, selain peluasan skop pembiayaan merangkumi bahan mentah dan sewa premis, langkah yang dijangka meringankan kos operasi usahawan dan menyokong penambahbaikan perniagaan mereka," ujar Datuk Seri Ramanan ketika ditemui media selepas Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Surat Tawaran kepada Penerima I-BAP di Dewan Mahkota, SME Corp. Malaysia, Kuala Lumpur Sentral.
Sejak diperkenalkan pada Oktober 2024, Program I-BAP telah meluluskan geran berjumlah RM5.13 juta, memberi manfaat kepada 85 syarikat milikan India.
Datuk Seri Ramanan berkata, meskipun peruntukan sedia ada hampir habis digunakan, kerajaan tetap komited dalam menyokong Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) milik kaum tersebut.
"Usaha ini akan diteruskan menjelang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan sasaran meningkatkan sumbangan PMKS kepada 50 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.##