fb fb fb fb fb

UPSI, MARDI meterai MoU perkukuh bidang teknologi pertanian

Prof Dr Rosmilah (dua dari kanan) bertukar dokumen MoU dengan Datuk Dr. Mohamad Zabawi sambil disaksikan oleh Datuk Athur Joseph Kurup (tengah)

TANJUNG MALIM, 30 Mei – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan teknologi pertanian.

UPSI memaklumkan, MoU tersebut dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pelajar melalui penyelidikan bersama, latihan industri, pembangunan kurikulum serta program mobiliti pelajar yang berfokuskan pertanian pintar dan teknologi mampan.

Menurut kenyataan, kerjasama strategik ini juga menyokong pembangunan modal insan berpengetahuan tinggi dalam bidang agro-teknologi, di samping memperkukuh jaringan akademik-industri yang berimpak kepada pembangunan sektor pertanian negara.

“Majlis menandatangani yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang sempena program Show Tech 2025, menandakan komitmen kedua-dua institusi dalam menyokong transformasi pendidikan vokasional dan kemajuan pertanian teknologi tinggi di Malaysia.

“MoU ini bukan sahaja memfokuskan pertumbuhan akademik dan penyelidikan, malah menekankan usaha pemindahan teknologi dan pengkomersialan inovasi tempatan kepada masyarakat, khususnya para petani dan usahawan tani,” jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, kerjasama UPSI dan MARDI telah pun terjalin sebelum ini menerusi sumbangan teknologi rumah tadahan hujan kepada FTV UPSI melalui Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan 2024.

MoU tersebut ditandatangani Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi UPSI, Profesor Dr. Rosmilah Misnan dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani serta disaksikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Athur Joseph Kurup, wakil kanan kedua-dua pihak dan tetamu jemputan dari pelbagai latar termasuk kerajaan, akademik dan industri.

GRACE AISYAH KEDAYAN