fb fb fb fb fb

Vaksin antirabies diperluas kepada kucing

Foto RTM

KUCHING, 30 Mei - Kucing peliharaan atau kucing jalanan yang dijangkiti virus rabies boleh menularkan penyakit berbahaya itu kepada manusia, terutama jika haiwan tersebut dijangkiti, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC), berkata orang ramai perlu berwaspada ketika berada berhampiran dengan kucing.

Beliau berkata kes rabies pertama di Sarawak pada tahun ini melibatkan seorang pelajar berusia 13 tahun yang dijangkiti daripada seekor kucing.

“Mangsa adalah pencinta kucing dan mempunyai sejarah tercalar ketika memberi makan kucing jalanan pada Februari lepas. Kini mangsa berada dalam keadaan kritikal di Hospital Umum Sarawak.

“Oleh itu, selain anjing, kucing juga perlu divaksin sebagai sebahagian usaha berterusan kita memerangi rabies,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar terus berdepan cabaran dalam usaha menggalakkan pemilik anjing supaya memberi vaksin kepada haiwan peliharaan mereka.

“Tindak balas daripada pemilik haiwan masih belum memberangsangkan. Lebih memburukkan keadaan, jabatan turut berdepan tentangan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak haiwan yang bertegas menolak kaedah sedia ada.

“Sebahagian pemilik juga menghadapi kesukaran mendapatkan vaksin untuk haiwan peliharaan mereka. Justeru, jabatan sedang menimbang penggunaan vaksin oral, selain kaedah pengasian,” katanya.

Uggah turut mengingatkan orang ramai agar segera membasuh bahagian tubuh yang digigit atau dicakar haiwan dengan air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya selama 20 minit.

Beliau menasihatkan agar mangsa mendapatkan rawatan perubatan segera di klinik berhampiran.- BERNAMA 

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN