fb fb fb fb fb

UPM rintis tuaian padi varieti rintang kemarau skala besar

Dr. Zulkarami menunjukkan bendang yang merekah dan kering namun padi benih CR hasil penyelidikan UPM kekal subur / Foto UPM

KOTA BHARU, 25 April - Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi perintis kepada tuaian padi varieti baharu rintang kemarau dan berkualiti tinggi.

Projek rintis itu dilakukan oleh sekumpulan penyelidik Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) dan Fakulti Pertanian (FP) di bendang Kampung Muring, Kelantan, di sini.

Penyelidiknya, Dr Zulkarami Berahim berkata projek itu merupakan projek rintis pertama benih iklim tersedia (CR) yang dituai dengan skala besar iaitu seluas enam hektar dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Kemubu (KADA).

"Pembangunan tanaman padi iklim tersedia untuk jaminan makanan di Malaysia memberi tumpuan bagi menangani isu perubahan iklim bagi tanaman padi.

"Kajian asas bagi menghasilkan varieti ini telah bermula sejak 2013 yang diketuai oleh Profesor Dr. Mohd Razi Ismail melalui siri penyelidikan asas yang dijalankan di UPM dan juga makmal Lancaster Environment Centre di Universiti Lancaster England," menurut UPM menerusi kenyataan.

Tambah Dr Zulkarami, benih CR merupakan benih yang tahan lasak, kering dan mampu hidup dalam cuaca yang terlalu panas.

"Jika kita lihat tali air di sini kering dan tiada air takungan untuk disalurkan ke kawasan padi namun padi yang ditanam tetap masih hidup dan subur, katanya.

Sementara itu, ketua projek, Profesor Dr. Mohd Razi Ismail berkata varieti benih ini dijangka sedia untuk dipasarkan kepada petani, tahun hadapan.

Ini kerana ia perlu melalui prosedur untuk mendapatkan pengesahan varieti di bawah skim subsidi benih padi sah oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk pengesahan varieti padi baharu.

"Varieti baharu padi ini masih diperingkat kajian penentusahaan setempat (LVT) di tujuh jelapang padi utama Semenanjung Malaysia termasuk di kawasan luar jelapang dibawah pengurusan Jabatan Pertanian Malaysia (JPM).

"Kajian penentuusahaan setempat dilakukan untuk mendapat pengesahan dari pihak KPKM bahawa varieti padi kita ini setanding dengan varieti sedia ada," katanya.

Sementara itu, Pengerusi KADA, Muhammad Husin berkata kerjasama antara pihak UPM dan pesawah di Kelantan memberi nafas baharu kepada golongan pesawah untuk mengusahakan tanaman padi sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan.

"Saya amat bersyukur dan seronok melihat kepada padi yang kuning penuh dan hidup dalam keadaan subur walaupun tali air kering hasil penanaman padi varieti CR ini. Saya yakin hasil untuk benih padi tahan kemarau ini dapat membantu petani hadapi kemarau," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN