fb fb fb fb fb

21 rumah rosak selepas dipukul ribut

Foto RTM

BALING, 25 April - Kira-kira 21 buah rumah di Daerah Baling, Kedah mengalami kerosakan selepas dilanda ribut dan angin kencang, petang semalam.
 
Bagaimanapun, kejadian hanya melibatkan kerosakan harta benda dan struktur kediaman rumah dan tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, (APMM) Leftenan Mohd Faizol Ab Aziz berkata, kejadian melibatkan lima buah mukim.
 
Katanya, Mukim Tawar merekodkan jumlah rumah tertinggi iaitu lapan buah rumah melibatkan empat rumah di Kampung Bukit 9, 2 di Kampung Kuala Tekah, dan masing-masing satu di Kampung Baru Batu 2 dan Kampung Seberang Merbau Pulas.
 
Mukim Teloi melibatkan lima buah rumah di Felda Teloi Kanan, Nibung 12, Kampung Jelutong, Sungai Bemban dan Charok Beras.
 
Mukim Siong dan Mukim Pulai masing-masing merekodkan tiga buah rumah; serta dua buah rumah di Mukim Bakai.
 
Dalam kejadian itu, angin kuat turut menyebabkan beberapa batang pokok tumbang.
 
15 anggota APMM bergegas ke lokasi kejadian bertindak membersih dan mengalihkan pokok tumbang yang menghalang lalu lintas serta pokok yang menimpa rumah penduduk.
 
Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada dengan perubahan cuaca yang berlaku ketika ini.
 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD