SERDANG, 10 Jun - Chapter Alumni YOSH Universiti Teknologi Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama MyFundAction melancarkan Program 'Hadiah Pek Daging Korban Untukmu Gaza' untuk meluaskan bantuan kemanusiaan dan soldariti antarabangsa.
Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, program itu bertujuan memberi sokongan kepada penduduk Gaza yang memerlukan sempena sambutan Hari Raya Korban akan datang.
"Kerjasama ini secara langsung memupuk amalan sedekah dalam kalangan pelajar UPM serta memupuk empati pelajar untuk cakna dengan konflik yang berlaku di Palestin.
"Kolaborasi ini telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM32,202.14 menerusi program Solidariti UPM bersamamu Palestin pada Oktober lalu," katanya.
Daging korban tersebut akan dimasak dan dipekkan dalam pek sedia untuk dimakan atau ready-to-eat yang mampu bertahan selama dua tahun.
Pelajar tahun kedua, Fakulti Sains Teknologi Makanan (FSTM), UPM Nur Farzanah Abdul Fattah berkata, penyertaan korban ini memberi peluang kepadanya untuk menyantuni penduduk Palestin di Gaza.
"Saya harap pemberian ini akan memberi kegembiraan kepada rakyat Palestin," katanya.
Pek daging korban ini dijangka akan dihantar ke Gaza pada bulan Disember melalui jalan laut dengan kerjasama Pos Malaysia dan DRB HICOM.