fb fb fb fb fb

UNMISS: 13 petugas PDRM selamat tiba di tanah air

13 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyertai Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu di Sudan Selatan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang Khamis/Foto Rastwin

SEPANG, 25 Disember – Seramai 13 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyertai Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu di Sudan Selatan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada pukul 6 petang tadi, selepas menamatkan penugasan selama 18 bulan sebagai Individual Police Officers (IPO).

Majlis sambutan kepulangan anggota pengaman itu diketuai Penolong Pengarah Pengurusan (Keselamatan, Sukan dan Rekreasi) Bukit Aman, ACP Ahmad Rahim Dolah.

Turut hadir bagi meraikan kepulangan mereka ialah ahli keluarga yang setia menunggu sejak pukul 4 petang, sekali gus mencerminkan penghargaan dan sokongan terhadap pengorbanan anggota pasukan keselamatan negar

Salah seorang pegawai terlibat, Inspektor Liza George Mokunjil berkata, pengalaman bertugas di Sudan Selatan amat mencabar berikutan perbezaan suasana dan persekitaran berbanding Malaysia.

“Secara peribadi, penugasan ini agak mencabar kerana suasana di sana amat berbeza berbanding di Malaysia, namun sepanjang 18 bulan bertugas saya memperoleh banyak pengalaman berharga.

"Kali ini saya rasa seolah-olah menyambut Krismas di dalam kapal terbang, menjadikan perasaan bercampur antara sedih dan gembira, tetapi saya bersyukur akhirnya dapat kembali ke pangkuan keluarga dan masih berpeluang menyambut bersama mereka,” katanya.

Sementara itu, Sarjan Mohamad Marjida Mahari berkata, cabaran utama sepanjang penugasan melibatkan faktor cuaca ekstrem serta situasi keselamatan yang tidak menentu di negara bergolak itu.

“Sudah tentu banyak cabaran dan dugaan sepanjang penugasan, antaranya faktor cuaca yang ekstrem selain situasi keselamatan di Sudan Selatan.

"Namun Alhamdulillah, hasil kerjasama semua negara yang terlibat dalam menjaga keselamatan, kami akhirnya berjaya kembali ke tanah air dengan selamat,” katanya.

Penglibatan pegawai dan anggota PDRM dalam misi pengaman itu bukan sahaja memikul tanggungjawab individu, malah mewakili PDRM serta negara di peringkat antarabangsa.

Ini sekali gus membuktikan keupayaan Malaysia melaksanakan tugasan keselamatan dalam persekitaran berisiko tinggi selaras dengan mandat PBB.

Delegasi yang terlibat dalam misi G13 UNMISS terdiri daripada ASP Fairus Md Dawe, Insp Liza George Mokunjil, Insp Nor Azlina Shahrul Zaman, Insp Tay Swee Boon, Sub Insp (SI) Gan Lai Ling, SI Jimmy Jaih, SI Emmanuel Stephens, SI Shawal Shariff, Sjn Mejar (SM) Mohd Hafizzuddin Augustin Abdullah, SM Muhammad Ibrahim Salimy Shohimi, Sjn Sarihati Awang Akhbar, Sjn Albert Legan dan Sjn Mohamad Marjida Mahari.

GRACE AISYAH KEDAYAN