fb fb fb fb fb

UMT salur RM1 juta zakat tahun ini

(Majlis Konvokesyen UMT ke-20 di Dewan Sultan Mizan)

KUALA NERUS, 11 Disember- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyalurkan bantuan zakat berjumlah RM1 juta kepada 1,582 pelajar sepanjang tahun ini.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata jumlah itu termasuk bantuan Dermasiswa Al-Ikhlas sebanyak RM250,000 kepada 500 asnaf yang memerlukan.

Katanya UMT sentiasa prihatin dan mengambil inisiatif dalam membantu serta menyediakan kemudahan kepada pelajar yang memerlukan untuk membolehkan mereka meneruskan pelajaran sehingga berjaya.

"Pemberian zakat ini amat membantu meringankan beban pelajar miskin yang terkesan terutama akibat kenaikan kos sara hidup pada masa sekarang.

"Tahun depan, kita merancang untuk memperkenalkan program AsnafPro iaitu pembiayaan penuh biasiswa zakat UMT kepada pelajar terpilih," katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UMT ke-20 di Dewan Sultan Mizan, di sini hari ini.

Istiadat pembukaan majlis konvokesyen berkenaan disempurnakan Canselor UMT Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

(Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar/FOTO BERNAMA)

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan berangkat ke majlis tersebut. Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata sepanjang tahun lepas UMT berjaya memperoleh hampir RM9 juta geran penyelidikan termasuk Geran Dana Yayasan Penyelidikan Sultan Mizan 2022.

Menurutnya pencapaian itu hasil daripada kepakaran penyelidik dalam bidang tujahan UMT iaitu 'Reef Research Interest Group' sehingga dianugerahkan Asia Achievement Award 2022 oleh The International Seakeepers Society.

"UMT juga tersenarai dalam kelompok 200 unversiti terbaik di Asia menerusi penarafan Asia University Ranking 2022 oleh Times Higher Education (THE) World University Rankings," katanya. -BERNAMA

Media Baharu