fb fb fb fb fb

Banjir: Pahang tertinggi rekod 581 penduduk terjejas

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 11 Disember- Pahang mencatatkan penduduk terjejas banjir tertinggi iaitu melibatkan 581 penduduk, diikuti Kelantan (575), Terengganu (545), Perak (106) dan Johor merekodkan 27 penduduk terjejas, setakat pukul 4.00 petang tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan, seramai 1,834 penduduk daripada 531 keluarga terjejas banjir direkodkan di lima negeri tersebut.

Menurut NADMA, 11 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Pahang membabitkan daerah Temerloh, Raub, Lipis, Jerantut dan Bera.

Temerloh merekodkan 382 penduduk daripada 115 keluarga di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan, manakala Raub sebanyak lima PPS dibuka iaitu PPS SK Ulu Atok menempatkan 30 penduduk daripada enam keluarga, PPS SK Lubuk Kulit (52 penduduk daripada 19 keluarga), PPS Masjid Jamek Kuala Semantan (lapan penduduk daripada tiga keluarga), PPS Balairaya Kampung Sengkela (tujuh penduduk daripada dua keluarga) dan PPS Balairaya Kampung Ria menempatkan tiga penduduk daripada sebuah keluarga.

"Lipis merekodkan 31 penduduk daripada lapan keluarga di PPS Masjid Beletik, manakala Jerantut merekodkan 19 penduduk daripada empat keluarga di PPS SK Batu BalaiĀ  dan 20 penduduk daripada tujuh keluarga di PPS Balairaya Kampung Sempadan. Dalam pada itu, dua PPS dibuka di Bera iaitu PPS SK Seri Buntar menempatkan 20 penduduk daripada enam keluarga dan PPS SK Kerayong menempatkan sembilan penduduk daripada tiga keluarga terjejas," menurut kenyataan itu.

Menurut NADMA, Kelantan pula mencatatkan 575 penduduk daripada 188 keluarga di daerah Pasir Mas yang melibatkan pembukaan empat PPS.

"PPS SK Tok Deh merekodkan 450 penduduk daripada 143 keluarga, PPS SK Kubang Gual (23 penduduk daripada lapan keluarga), PPS SK Gual Periok (81 penduduk daripada 28 keluarga) dan PPS Putat Tujoh menempatkan 21 penduduk daripada sembilan keluarga," menurut kenyataan.

Terengganu pula mencatatkan 545 penduduk daripada 137 keluarga terjejas di daerah Kemaman, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Setiu.

"Kemaman membuka tiga PPS iaitu PPS Dewan Abd Rahman Limbong menempatkan 251 penduduk daripada 55 keluarga, PPS SK Kampung Baru Kerteh (14 penduduk daripada lapan keluarga) dan PPS SK Kemasik menempatkan 14 penduduk daripada enam keluarga terjejas.

"Manakala, Kuala Nerus iaitu PPS SK Tok Jembal merekodkan 138 penduduk daripada 34 keluarga dan PPS SK Bukit Nanas (82 penduduk daripada 20 keluarga). Kuala Terengganu menempatkan 42 penduduk daripada 13 keluarga di PPS SK Atas Tol. Setiu mencatatkan empat penduduk daripada sebuah keluarga di PPS Balairaya Kampung Merang," jelas kenyataan tersebut.

Dalam perkembangan sama, tiga PPS telah ditutup di Terengganu iaitu PPS SK Chendering, PPS Balairaya Kampung Bukit Nenas dan PPS Surau Mak Bakas selepas paras air banjir surut.

Dalam pada itu, 106 penduduk daripada 23 keluarga terjejas banjir dicatatkan di Perak melibatkan daerah Hilir Perak dengan sebuah PPS dibuka iaitu PPS Dewan SMART Batu 4.

"Johor pula merekodkan 27 penduduk daripada sembilan keluarga dari daerah Segamat yang ditempatkan di PPS Balairaya Kampung Batu Badak," jelas kenyataan itu.

(Foto fail)

Media Baharu