fb fb fb fb fb

Rafizi janji tidak campur aduk tugas menteri dengan hal politik

(Rafizi Rami/FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 11 Disember- Walaupun memahami perang media sosial masih panas dengan drama politik, tanggungjawab utama kerajaan adalah untuk memperbaiki kehidupan rakyat, demikian menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berjanji akan menggunakan masanya sebagai anggota Kabinet sebaik mungkin dan tidak akan mencampuradukkannya dengan peranan beliau sebagai Timbalan Presiden PKR.

"Masa waktu yang dibayar gaji oleh rakyat, saya akan tumpu kerja sebagai menteri.

"Keutamaan sekarang adalah melaraskan dasar-dasar dan pelaksanaan projek supaya memberi impak paling besar kepada rakyat dalam persediaan kita menghadapi cabaran ekonomi 2023 yang dijangka lebih menguji kekuatan dan daya tahan ekonomi negara.

"Diluar waktu kerja, saya akan berdepan dengan PN/PAS. Saya akan menjawab isu-isu yang mereka mainkan dan juga akan selaraskan supaya aktivis dan pimpinan Kerajaan Perpaduan turut sama memantau prestasi mereka sebagai pembangkang," katanya.

Bergerak ke hadapan, beliau turut berjanji tidak akan menggunakan walau satu sen duit dan masa kerajaan dalam menggerakkan kempen parti diwakilinya bagi menghadapi enam pilihan raya negeri yang akan dimulakan Januari ini.


(Rafizi Rami/FOTO BERNAMA)

“Kita akan berkempen seperti sebelum membentuk kerajaan atas platform PKR dan @ayuhMYmovement tanpa penglibatan satu sen duit dan masa kerajaan,” katanya.

"Mereka ingat jadi pembangkang ini hanya menimbulkan sentimen kebencian. Mereka lupa bahawa menjadi pembangkang juga perlukan pengetahuan mengenai dasar, memantau pelaksanaan, membawa suara rakyat dengan masalah seharian mereka," tambahnya.

Dalam hantaran sama, Rafizi juga memberitahu perancangannya selaku wakil PKR berhubung persediaan menghadapi pilihan raya negeri.

"Saya akan mula mengeluarkan kenyataan politik sebagai Timbalan Presiden PKR (bukan sebagai Menteri) secara berasingan untuk menggariskan perancangan dan usaha kita bersedia menghadapi enam Pilihanraya Negeri yang akan datang.

"Biar rakyat hakimi siapa yang lebih bertanggungjawab kepada rakyat dengan amanah yang diberikan," katanya.
 

Media Baharu