UMT bantu sebar kempen perangi plastik sekali guna

Sebahagian peserta Program Let’s Refuse Plastic 2.0/Gambar UMT

KUALA NERUS, 29 Jun – Selaras agenda kelestarian alam sekitar selain meningkatkan kesedaran orang ramai berkaitan penggunaan plastik sekali guna, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan Program Let’s Refuse Plastic 2.0.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menggalakkan budaya menolak plastik sekali guna dengan membawa beg dan bekas sendiri dalam kehidupan harian.
  • Melaksanakan aktiviti pendidikan dan advokasi: pengagihan beg guna semula, bekas makanan, kaji selidik dan kuiz kelestarian.
  • Komitmen UMT memupuk kesedaran melalui penyelidikan marin, pendidikan dan penglibatan komuniti untuk kelestarian jangka panjang.
  • Pencemaran plastik mengancam biodiversiti marin; perubahan sikap dan amalan harian diperlukan untuk memelihara sumber semula jadi.

Program yang berlangsung di Tapak Carboot Sale UniSZA, Gong Badak, mengetengahkan tema “Say No to One-Off Plastic!” sekali gus menggalakkan pembudayaan amalan hidup lestari melalui tindakan mudah yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.

Hampir 100 tenaga kerja dan sukarelawan menjayakan program berkenaan. Mereka terdiri daripada warga UMT, pelajar SMK Bukit Besar, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Terengganu serta sukarelawan lain.

Pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan dan advokasi alam sekitar dilaksanakan termasuk kempen pengurangan penggunaan plastik sekali guna, pengagihan beg serta bekas makanan guna semula, kaji selidik kesedaran alam sekitar, kuiz berkaitan kelestarian dan promosi amalan membawa beg serta bekas sendiri ketika membeli-belah.

Pengarah Program, Dr. Izan Jaafar, berkata penganjuran program berkenaan membuktikan komitmen berterusan UMT dalam menerapkan budaya kelestarian bukan sahaja dalam kalangan warga kampus, malah kepada masyarakat melalui pendekatan pendidikan berasaskan komuniti.

“UMT percaya usaha memerangi pencemaran plastik perlu bermula dengan perubahan sikap dan amalan harian. Melalui Program Let’s Refuse Plastic 2.0, kami ingin menyampaikan mesej bahawa setiap individu mempunyai peranan penting dalam mengurangkan penggunaan plastik sekali guna demi memelihara alam sekitar.

“Sebagai universiti yang sinonim dengan penyelidikan marin dan kelestarian, UMT komited memupuk kesedaran alam sekitar melalui gabungan pendidikan, penyelidikan dan libat sama komuniti.

Kami mahu menjadikan amalan membawa beg sendiri, membawa bekas makanan sendiri serta menolak plastik sekali guna sebagai budaya masyarakat, bukannya sekadar kempen bermusim,” katanya.

Beliau berkata, isu pencemaran plastik semakin membimbangkan kerana sebahagian besar sisa plastik akhirnya memasuki sistem sungai dan lautan, sekali gus mengancam biodiversiti marin serta menjejaskan keseimbangan ekosistem.

“Sebagai universiti yang memberi tumpuan kepada sains marin dan alam sekitar, UMT melihat pendidikan masyarakat sebagai antara pendekatan paling berkesan untuk membentuk perubahan tingkah laku yang berkekalan.

“Apabila kesedaran diterjemahkan kepada tindakan, impaknya bukan sahaja dapat mengurangkan pencemaran, malah membantu memelihara sumber semula jadi untuk dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya.

Melalui penglibatan secara langsung bersama komuniti, para pelajar berpeluang mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di dalam bilik kuliah dalam situasi sebenar, sekali gus meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan tanggungjawab sosial sebagai bakal saintis serta profesional yang prihatin terhadap isu kelestarian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.