fb fb fb fb fb

UMNO ulangi pendirian kes berkaitan Ismail Sabri bersifat individu

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 12 Mac- Penemuan sejumlah besar wang tunai dan jongkong emas di rumah individu yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tiada kaitan sama sekali dengan UMNO.

Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya menegaskan, UMNO sekali lagi mengulangi pendirian berhubung kes berkenaan dan ia bersifat individu dan tidak membabitkan parti itu.

Sehubungan itu, UMNO menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkaitan untuk menjalankan siasatan selanjutnya.

"Kita berpendirian bahawa UMNO tidak pernah terlibat dengan wang dan jongkong emas yang telah disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ia tiada kaitan langsung untuk dana politik ataupun kutipan yang dibuat UMNO.

"Dalam hal ini kita menyerahkan kepada SPRM untuk mengambil tindakan susulan dan jika tindakan perundangan sekali pun maka itu terserah kepada SPRM dan juga Jabatan Peguam Negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara.

Pada majlis itu, UMNO turut bertemu serta menyampaikan sumbangan kepada lebih seratus anak yatim dari rumah anak yatim sekitar Lembah Klang.

Dalam perkembangan lain, UMNO telah menyenarai pendek enam calon bagi mewakili Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Ahmad Zahid berkata, calon yang muktamad akan diumumkan sebelum hari penamaan calon pada 12 April depan.

Kesemua calon disenarai pendek selepas beliau mengadakan perbincangan bersama Pengerusi BN Perak merangkap Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

"Kita akan mengumumkan sempena dengan pelancaran jentera Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, insya-Allah kira-kira seminggu sebelum hari penamaan calon," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI