fb fb fb fb fb

Tengku Zafrul masih ahli UMNO sah

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Mac- Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz masih ahli UMNO yang sah demikian dinyatakan Presidennya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid menjelaskan, beliau telah bertemu dengan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu pada minggu lepas untuk membincangkan ura-ura kononnya Tengku Zafrul bakal meninggalkan parti keramat tersebut.

Bagaimanapun pada pertemuan itu, Ahmad Zahid turut menyarankan Tengku Zafrul supaya tidak terburu-buru dalam membuat keputusan berhubung perkara itu.

"Saya memperakui bahawa beliau telah bertemu dengan saya minggu lalu dan saya telah memberikan pandangan parti bahawa beliau tidak perlu tergesa-gesa untuk membuat keputusan. Sekarang beliau merupakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja.

"...beliau juga adalah Ahli Majlis Kerja Tinggi (MKT) UMNO yang dipilih dan menang. Jadi tidak perlu tergesa-gesa. Dalam keadaan itu beliau (Tengku Zafrul) bersetuju dengan saya dan insya-Allah setakat hari ini, beliau masih lagi menjadi ahli UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media Majlis Berbuka Puasa Bersama MKT UMNO di sini.

Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan, rundingan sengit sedang berjalan berhubung kemungkinan Tengku Zafrul meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI