MACHANG, 14 Disember - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengaktifkan bilik gerakan banjir susulan tujuh daerah dijangka banjir bermula hari ini sehingga 17 Disember.
Naib Canselor UMK, Datuk Profesor Ir Dr Arham Abdullah berkata pihaknya juga sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan memandangkan gelombang banjir pertama pada bulan lalu di universiti itu membabitkan kampus kota di Pengkalan Chepa.
Pihaknya sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa dan sekiranya banjir berlaku lagi pada kali ini dan elektrik terpaksa ditutup, maka UMK akan melaksanakan pembelajaran dalam talian.
“Kami bagi peringatan secara berkala terutama sewaktu musim tengkujuh ini, mereka sentiasa bersedia, hari itu pengalaman pertama pun mereka dah lalui, Alhamdulillah semuanya dalam keadaan baik dan kami ingin pastikan ibu bapa tidak perlu risau, Insya-Allah kami akan menjaga pelajar-pelajar kami yang terbaik lah.”
Beliau berkata demikian selepas Program Kampung Angkat Madani Mukim Bukit Tiu dibawah UMK yang dirasmikan oleh Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub, di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menambah satu unit pam diesel menjadikan pihaknya kini mempunyai lima pam diesel dan elektrik.
Apabila berlaku hujan lebat, pam tersebut akan berfungsi untuk menyedut air keluar.