fb fb fb fb fb

Umat Islam perlu jadi duta al-Quran - Raja Perlis

Umat Islam perlu mempertingkatkan pembudayaan ilmu al-Quran dalam mendepani cabaran teknologi / Foto Bernama

KANGAR, 3 MeiUmat Islam perlu mempertingkatkan pembudayaan ilmu al-Quran dalam mendepani cabaran teknologi, ideologi serta budaya asing agar tidak tersasar daripada ajaran Islam yang sebenar berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah umat Islam perlu menjadi duta al-Quran dan menyebarluaskan ilmunya ke seluruh dunia demi memastikan kefahaman dan penghayatan terhadap kitab suci itu terus subur dalam kalangan masyarakat.

“Menjadi tanggungjawab kita semua untuk menyebarkan budaya ilmu dan penghayatannya dengan meletakkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai paksi utama dalam kehidupan masyarakat. Ingatlah bahawa setiap kita adalah duta al-Quran yang wajib kita zahir dan semarakkan kepada dunia,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah bersamaan 2025 Masihi yang berlangsung pada Jumaat di sini.

Dalam titahnya, baginda turut menyarankan agar pendekatan nilai dan semangat kerjasama yang wujud dalam majlis tilawah dan hafazan ini dapat diperluaskan ke bidang lain seperti pendidikan, sosial dan pembangunan masyarakat.

Usaha itu, titah baginda, bukan sahaja mampu memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan rakyat, malah akan membina kerjasama yang erat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri demi kemakmuran negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN