fb fb fb fb fb

Umat Islam diminta tidak bangkit isu gugat perpaduan ummah - Sultan Kedah

ALOR SETAR, 19 Julai - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah meminta umat Islam agar tidak sama sekali membangkitkan isu yang boleh menggugat perpaduan ummah.

Pada masa sama, baginda juga menzahirkan rasa dukacita dengan segelintir individu tidak bertanggungjawab yang menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik sehingga menimbulkan ketidakharmonian dan pepecahan dalam kalangan umat Islam.

"Beta menegaskan agar umat Islam, jangan sama sekali membangkitkan isu yang boleh menggugat perpaduan ummah. Beta juga tidak perkenan dengan segelintir individu yang tidak bertanggungjawab, menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik, sehingga menimbulkan ketidak harmonian dan pepecahan, dalam kalangan umat Islam," titah Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah,di sini.

Baginda bertitah, bibit-bibit perpecahan dapat diatasi apabila umat Islam kembali semula kepada ajaran yang paling asas iaitu berpegang pada ajaran Al-Quran.

(Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah
semasa merasmikan Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah
tahun 1445 Hijrah bersamaan 2023 Masihi di sini)

"Beta mengharapkan agar, umat Islam di negeri Kedah ini juga, sentiasa hidup dalam bersatu-padu, dan menjaga keharmonian bersama. Antara salah satu sebab yang menjadi punca perpecahan ialah ketidakmampuan dalam mengawal hawa nafsu, serta tidak matang dalam memberikan tindak balas terhadap perbezaan pendapat sehingga mudah melenting dan bergaduh sesama
sendiri. Walhal, pergaduhan itu ada yang berpunca daripada isu-isu yang remeh-temeh, " titah baginda.

Titah baginda lagi, peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah memberi satu kesan besar kepada peradaban manusia iaitu berkaitan perpaduan sejagat dalam membina sesebuah negara.

Tiga teras utama yang menjadi keutamaan Rasulullah SAW ialah Membina masjid sebagai asas pembinaan masyarakat Islam supaya menghidupkan jiwa dan medan penyatuan ummah dan pentadbiran, selain sebagai tempat beribadah; Mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar; dan Membuat perjanjian dengan penduduk Madinah.

Penyatuan hati Muhajirin dan Ansar telah dapat meringankan beban ekonomi dan sosial, yang dihadapi golongan Muhajirin yang sanggup meninggalkan harta dan tanah air, demi berhijrah bersama Rasulullah SAW.

Oleh itu, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin menyeru agar Umat Islam menghayati setiap pengajaran dan iktibar dari kehidupan Rasulullah SAW serta berusaha sedaya upaya melaksanakan ajaran tingkah laku dan akhlak Baginda SAW dalam kehidupan seharian.

Media Baharu