BUKIT PALAH, 19 Julai - Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Othman Muhammad menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah (Anugerah Abu Bakar As Siddiq) sempena sambutan Maal Hijrah 1445h/2023 peringkat negeri Melaka.
Beliau yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba aktif dengan aktiviti dakwah sejak tahun 1982.
Antara sumbangan beliau adalah, melaksanakan program Taqarrub Ramadan iaitu aktiviti moreh dengan membawa penceramah ke masjid dari tahun 1987 hingga 2008.
Aktiviti itu dilakukan dengan tujuan untuk mengajak masyarakat islam menggunakan waktu terluang untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT semasa bulan Ramadan.
"Jadi kita dapat tiap-tiap malam bulan Ramadan pergi ke masjid-masjid bawa seorang ustaz kita pergi masjid pada mula 20 buah masjid kemudian jadi 30, 40 sampai 10 tahun sudah jadi seluruh negeri Melaka masa tu ada 169 buah masjid dan ada dekat 600 buah surau jadi akhirnya seluruh melaka ini tau apa tu takarub Ramadan dan mereka semakin berminat jadi ini kerja-kerja dakwah yang dilakukan oleh pegawai saya lah ," kata Othman ketika ditemui media selepas majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Melaka di Auditorium Al Azim, di sini.
(Datuk Othman Muhammad)
Beliau juga berharap, agar anak muda di Melaka khususnya bersatu dalam perjuangkan syiar Islam dan sentiasa mengadakan program-program melibatkan dakwah serta perpaduan kaum.
Sementara itu, Ahyead Alias menerima Tokoh Keluarga Mithali, (Anugerah Keluarga Sumayyah dan Yassir).
Ahyead 67 tahun mempunyai 13 orang anak pernah berkhidmat sebagai Imam Masjid Kampung Hulu selama 35 tahun.
"Saya memang lah, memang kita gembira lah semua pandai baca quran 13 orang reti baca Quran saya dan isteri saya didik, dan isteri saya didik lagi berjaya lah sebab duduk rumah kan jadi anak saya ada dua orang lah baca Quran ini belajar sampai ke Mesir lah Universiti Al Azhar Mesir.. seorang lelaki sorang perempuan," kata Ahyead .
Anugerah disampaikan Yang Di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.