
RIAU, 7 April – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Universitas Islam Riau.
- Kerjasama merangkumi bidang strategik: akademik, penyelidikan dan jaringan industri.
- Inisiatif mencerminkan komitmen UiTM Cawangan Perlis memperluas jaringan antarabangsa dan menaikkan kecemerlangan pendidikan.
- Lawatan kerja tiga hari melibatkan mesyuarat rasmi, perbincangan strategik dan program akademik bersama universiti tuan rumah.
- Delegasi disertai rektor, timbalan rektor, koordinator komunikasi dan penyelaras SULAM bagi memperkukuh perkongsian ilmu.
Pemeteraian ini bukan sekadar simbolik, malah mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan dua hala yang merangkumi pelbagai bidang strategik termasuk akademik, penyelidikan dan jaringan industri.
Menurut Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor dalam kenyataannya, inisiatif kerjasama antara kedua-dua institusi pengajian tinggi mencerminkan kesungguhan UiTM Cawangan Perlis dalam memperluas jaringan kerjasama antarabangsa serta melonjakkan kecemerlangan pendidikan ke peringkat global.
Beliau memaklumkannya ketika mengetuai Lawatan Kerja Delegasi UiTM Cawangan Perlis ke Universitas Islam Riau yang berlangsung selama 3 hari bermula semalam.
Sepanjang lawatan selama tiga hari ini, delegasi UiTM Cawangan Perlis menghadiri pelbagai sesi mesyuarat rasmi, perbincangan strategik serta program akademik bersama pihak universiti.
Selain itu, ahli delegasi turut dijadualkan untuk menyampaikan syarahan akademik kepada para pelajar fakulti masing-masing, sekali gus memperkukuh perkongsian ilmu dan kepakaran antara kedua-dua institusi.
Delegasi ini turut disertai oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik Prof. Madya Dr Ahmad Fikri Mohd Kassim, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Wan Mohd Yaseer Mohd Abdoh, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri Profesor Madya Dr Wan Izhan Nawawi Wan Ismail, Koordinator Komunikasi Korporat Dr Fazly Amri Mohd serta Penyelaras Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) Dr Abu Hassan Nordin.