KUALA LUMPUR, 6 Disember – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) perlu kekal sebagai sebuah “Taman Ilmu” berteraskan tauhid, bagi melahirkan graduan yang berilmu, berakhlak dan berintegriti.
Ketua Perlembagaan UIAM, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah UIAM bukan sekadar institusi penganugerahan ijazah, sebaliknya memikul amanah besar untuk membentuk kepimpinan masa depan yang menjunjung keadilan, keberanian dan nilai kemanusiaan.
Jelas Baginda, ilmu tidak boleh kekal diam, sebaliknya perlu dizahirkan melalui tindakan.
“Pendidikan berteraskan tauhid merupakan benteng paling kukuh dalam membanteras rasuah, pemikiran sempit, dadah, gangsterisme dan keruntuhan moral. Biarlah Taman Ilmu ini menjadi contoh kepada seluruh rakyat Malaysia sebagai komuniti yang bermaruah, berprinsip dan bercahaya. Universiti ini mesti memelihara rohnya,” titah Baginda pada Majlis Konvokesyen ke-41 UIAM, di sini.
Dalam pada itu, Baginda menyeru pihak universiti agar terus memelihara roh dan jati diri UIAM, termasuk memperkukuh peranan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) sebagai mercu ketamadunan Islam.
Baginda turut menyarankan agar kampus sentiasa kekal selamat, terpelihara dan kondusif untuk pembinaan insan berilmu.
Baginda menzahirkan harapan agar para graduan mengejar kecemerlangan, berpegang kepada iman, menuntut ilmu dengan ikhlas, serta melangkah dalam kehidupan dengan maruah dan tujuan.
