TVET peringkat sekolah lahirkan pelajar berkemahiran

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Citra Universiti (CITRA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ts. Dr. Ahmad Firdhaus Arham menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media

KUALA LUMPUR, 24 Januari – Pengintegrasian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke dalam Kokurikulum Persekolahan 2027 disifatkan langkah strategik melahirkan pelajar berkemahiran sejajar keperluan negara dan kemajuan teknologi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Integrasi TVET dalam Kokurikulum Persekolahan 2027 sebagai langkah strategik untuk melahirkan pelajar berkemahiran.
  • TVET membangunkan bakat dan kemahiran praktikal pelajar secara menyeluruh, sesuai dengan evolusi teknologi.
  • Pendidikan kini perlu fokus bukan hanya peperiksaan tetapi juga penyelesaian masalah, penguasaan teknologi dan kemahiran vokasional.
  • TVET membuka laluan kepada pelajar kurang cenderung akademik untuk berkembang melalui latihan dan kemahiran praktikal.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Citra Universiti (CITRA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ts. Dr. Ahmad Firdhaus Arham berkata, inisiatif itu membangunkan bakat dan kemahiran praktikal pelajar secara menyeluruh.

“Generasi akan datang lebih maju berbanding kita. Justeru, TVET amat penting kerana teknologi sentiasa berevolusi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media, hari ini.

“Pendidikan masa kini tidak lagi boleh tertumpu kepada peperiksaan semata-mata, sebaliknya perlu membentuk pelajar yang mampu menyelesaikan masalah, menguasai teknologi dan memiliki kemahiran vokasional,” katanya.

Tambah beliau, pemerkasaan TVET juga membuka peluang kepada pelajar yang kurang cenderung terhadap subjek akademik tradisional untuk berkembang melalui laluan kemahiran dan latihan praktikal.

Pada Selasa lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 sebagai langkah reformasi pendidikan bagi membina masa depan generasi muda yang lebih adil dan berdaya saing.

Antara inti pati RPN ialah pengenalan TVET di sekolah rendah dan menengah menerusi Kurikulum Persekolahan 2027.