PUTRAJAYA, 21 Januari-Pelaksanaan pertukaran peranan petugas kaunter khidmat pelanggan sektor awam berupaya menangani masalah integriti yang dilihat menjejaskan kepercayaan rakyat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata ia juga mampu mewujudkan iklim kerja yang lebih kondusif.
"Saya fikir sangat bertepatan buat kami, di KDN (Kementerian Dalam Negeri) ada agensi yang membabitkan perkhidmatan kaunter dan paling popular ialah Jabatan Imigresen, ada Jabatan Pendaftaran dan sebagainya.
"Saya mengalu alukan perkara yang disebut oleh Tan Sri KSN kerana kami yakin di peringkat KDN kami akan terus menjalankan usaha yang berterusan bagi meningkatkan mutu sistem penyampaian agensi di bawah KDN", katanya selepas meninjau reruai pada EXPO dan Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia (AISSE25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Terdahulu, pada Isnin, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata petugas kaunter perkhidmatan pelanggan dalam sektor awam yang telah berkhidmat lebih lima tahun bakal dipindahkan ke peranan baharu sebagai sebahagian daripada langkah memperbaiki kualiti perkhidmatan.
Jelasnya, angkah tersebut akan melibatkan semua agensi berkaitan, termasuk bahagian perkhidmatan pelanggan dan Imigresen, untuk memastikan petugas terlibat mendapat peluang meningkatkan pengalaman kerja mereka.
Sementara itu, Saifuddin menegaskan kerajaan meletakkan komitmen tinggi dalam pemerkasaan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dengan semua pihak bagi memerangi jenayah rentas sempadan.
Menurutnya, usaha tersebut selaras inisiatif Kecerdasan Buatan Malaysia Madani (MMAI).
Ia dalam memanfaatkan kuasa transformatif AI, data lanjutan analitik dan pengkomputeran berprestasi tinggi yang mampu menghalang keganasan, sekali gus meningkatkan keselamatan awam.
"Kecerdasan buatan (AI) sudah pasti menukar strategi, malah ia datang dengan dwipotensi.
"Walaupun ia menawarkan peluang yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk meningkatkan keselamatan, ia juga memberikan risiko baharu, kerana pelaku jenayah semakin banyak menggunakan AI untuk melakukan jenayah.
"Hal ini tidak memberi kami pilihan selain mempercepatkan penggunaan AI dalam memerangi jenayah. Kita mesti mengutamakan peningkatan kemahiran tenaga kerja kita, menguasai peralatan canggih, dan membangunkan penyelesaian inovatif untuk menentang ancaman mendatang", katanya.