fb fb fb fb fb

Banjir: Tujuh PPS dibuka di Pulau Pinang

FOTO APM SEBERANG PERAI TENGAH

GEORGE TOWN, 17 September- Sebanyak tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga daerah Pulau Pinang susulan banjir kilat yang berlaku selepas hujan berterusan selama tiga hari sejak Ahad lalu.

Penolong Pengarah Sektor Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Mejar (PA) Kamal Jakarinah, memaklumkan seramai 60 penduduk daripada 38 keluarga telah ditempatkan di PPS setakat petang tadi.

Daerah Seberang Perai Utara (SPU) merupakan kawasan paling teruk terjejas.

Tiga PPS telah dibuka di daerah SPU iaitu di Dewan Labuh Banting, Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi, dan Sekolah Agama Rakyat Nyior Sebatang.

Di Seberang Perai Tengah (SPT), PPS dibuka di SK Penanti di Lubang Semang dan Dewan Bukit Teh manakala di Seberang Perai Selatan (SPS), PPS dibuka di Dewan Sungai Bakap dan Dewan MPKK Sanglang.

Setakat pukul 7.15 malam tadi, dua sungai di Pulau Pinang berada pada paras bahaya iaitu Sungai Muda di Bumbung Lima (SPU) dan Sungai Junjung di Simpang Ampat (SPS).

Sementara itu, Sungai Jawi di Jalan Sungai Jawi (SPS) mencatatkan paras amaran.

SITI AISHAH MD ISA