PUTRAJAYA, 20 Mei – Proses perolehan inisiatif MyKiosk dilaksanakan secara telus dan terbuka tanpa campur tangan luar.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan, pelantikan 795 kontraktor bagi pelaksanaan projek berkenaan dijalankan secara terbuka dan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Kiosk yang telah siap dibina menjadi hak milik PBT dan pemantauan terhadap kualiti pembinaan juga berada di bawah tanggungjawab pihak berkuasa berkenaan.
Setakat ini, menerusi pelaksanaan MyKiosk 1.0, sebanyak 349 kontraktor telah dilantik oleh 114 PBT, manakala MyKiosk 2.0 pula melibatkan 446 kontraktor yang dilantik oleh 96 PBT di seluruh negara.
Nga turut menafikan dakwaan yang tular menerusi video fitnah berkaitan projek MyKiosk@KPKT, dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas.
Sehubungan itu, KPKT akan membuat laporan polis serta aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung penyebaran video serta berita palsu yang mencemarkan imej inisiatif tersebut.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama penuh sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap pelaksanaan projek berkenaan.
Setakat ini, jumlah pengisian MyKiosk 1.0 telah mencapai 87.74 peratus, membabitkan 2,798 unit kiosk yang telah diisi dengan peniaga.
Sementara itu, pengisian bagi MyKiosk 2.0 kini mencecah 65.44 peratus, melibatkan 2,653 unit kiosk yang telah dioperasikan oleh usahawan kecil.
Menurut Nga, KPKT kekal komited membantu golongan berpendapatan rendah khususnya kumpulan B40 untuk menjana pendapatan melalui fasiliti niaga yang disediakan di bawah inisiatif MyKiosk.
MyKiosk 2.0 tampil dengan penambahbaikan dari segi reka bentuk lebih mesra pengguna, dilengkapi panel tenaga solar berkapasiti besar serta sistem elektrikal yang lebih cekap termasuk penggunaan lampu LED.
Walaupun berdepan peningkatan kos pembinaan akibat penambahan spesifikasi, kadar sewaan bagi peniaga kekal rendah dan tidak melebihi RM300 sebulan.