fb fb fb fb fb

Tuanku Muhriz periksa kawalan kehormatan sempena Hari Keputeraan

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama sempena istiadat Hari Keputeraan baginda di Padang Awam Seri Menanti /FOTO BERNAMA

SERI MENANTI, 14 Januari -Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan berangkat mencemar duli memeriksa kawalan kehormatan utama sempena istiadat Hari Keputeraan baginda di Padang Awam Seri Menanti, hari ini.

Istiadat Kawalan Kehormatan Utama itu merupakan sebahagian daripada aturcara sebelum Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Sempena Hari Keputeraan Ke-76 Duli Yang Maha Mulia, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.

Keberangkatan baginda Tuanku pada pukul 8.15 pagi diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Tengku Besar Mahmud.

Turut hadir, kedua-dua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-a'bidin.

Seramai 103 anggota lain-lain pangkat serta tiga orang pegawai terlibat dalam Istiadat Kawalan Kehormatan Utama sempena Hari Keputeraan Ke-76 Duli Yang Maha Mulia, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Istiadat kawalan kehormatan utama merangkumi persembahan Kawad Tanpa Perintah dari pasukan Polis Diraja Malaysia melibatkan seramai 45 orang anggota dari Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.

Persembahan itu menggabungkan pergerakan kawad dengan mempersembah formasi berbentuk lambang pedang bersilang dan angka 76 bersempena dengan sambutan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Seterusnya, Angkatan Tentera Malaysia tampil dengan mempersembah kawad formasi drumline dan fire hawk yang melibatkan 40 orang anggota pancaragam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Subang dan Markas Briged 1. 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD