IPOH, 17 November - Transformasi aplikasi SMART Niaga@Perak bakal menjadi satu platform e-dagang lengkap untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata aplikasi itu bakal dilengkapi platform e-dagang Shopmatic dengan kemudahan pembayaran dalam talian dan pilihan logistik yang lebih banyak.
Jelas beliau, penggunaan platform e-dagang Shopmatic itu bakal melonjakkan usahawan ke tahap lebih tinggi dan berpotensi untuk menembusi pasaran antarabangsa.
"Inisiatif ini mempercepatkan ketersediaan negeri Perak mengadaptasikan teknologi yang mendorong pertumbuhan inovasi baharu dan membuang ruang untuk agensi kerajaan, pihak swasta dan usahawan mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan pengguna," kata Saarani dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis memorandum persefahaman (MoU) di antara Digital Perak dan Nityo Infotech Services Sendirian Berhad, di sini.
Nityo akan membimbing seramai 200 PKS teratas yang tersenarai dalam aplikasi itu tanpa melibatkan kos kepada kerajaan negeri serta PKS itu sendiri.
Dalam majlis berasingan, Saarani memaklumkan promosi Makanan tradisi Perak yang dilaksanakan adalah mengetengahkan pelbagai makanan warisan itu bersempena dengan Tahun Melawat Perak 2024.
Promosi tersebut bertujuan membantu pertumbuhan industri pelancongan gastronomi di negeri itu.
"Inisiatif ini dilaksanakan oleh Hotel Casuarina@Meru bagi mempromosikan dan mengetengahkan warisan kulinari dan budaya Perak kepada pelancong yang berkunjung ke negeri ini sekali gus mengangkat Perak menjadi sebuah destinasi pelancongan makanan utama di Malaysia," katanya selepas melancarkan Majlis Perasmian Promosi Makanan Perak di Hotel Casuarina@Meru, di sini.
Set Talam dengan gabungan pelbagai hidangan tradisional masakan negeri Perak antara tarikan yang disediakan kepada pengunjung.