fb fb fb fb fb

Tragedi Sungai Merbau: Operasi SAR diteruskan

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dilaksanakan bagi mengesan seorang lagi kanak-kanak lelaki yang masih hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus deras Sungai Merbau di Prima Saujana, Kajang/RTM

HULU LANGAT, 5 Disember  - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dilaksanakan bagi mengesan seorang lagi kanak-kanak lelaki yang masih hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus deras Sungai Merbau di belakang Masjid Prima Saujana, Kajang, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima maklumat awam mengenai kejadian membabitkan dua beradik lelaki berusia 12 dan 14 tahun sekitar pukul 6.29 petang.

Menurutnya, operasi SAR menggerakkan seramai 35 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), tujuh aset jentera dari balai berhampiran serta bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pasukan pencarian turut dibantu unit anjing pengesan K9 di lokasi terakhir mangsa dipercayai hilang.

0512 SAR KANAK KANAK HANYUT 2Pasukan pencarian turut dibantu unit anjing pengesan K9 di lokasi terakhir mangsa dipercayai hilang/RTM

Kanak-kanak berusia 12 tahun itu berjaya ditemui kira-kira 7.47 malam pada Khamis dalam jarak lebih kurang dua kilometer dari lokasi mereka dilaporkan terjatuh ke dalam sungai.

Mangsa diberi rawatan kecemasan sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 10 malam.

Operasi SAR diteruskan sehingga kini (Jumaat) dengan tiga pasukan pencarian digerakkan merentasi jajaran sungai menuju ke muara Sungai Langat, melibatkan radius pencarian kira-kira 3.5 kilometer.

Bagaimanapun, operasi bergantung kepada keadaan cuaca serta faktor keselamatan. Jika perlu, usaha pencarian akan disambung semula pada awal pagi esok.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan turut hadir meninjau operasi dan memberikan sokongan moral, selain menzahirkan penghargaan kepada semua pasukan SAR dan penduduk setempat yang membantu usaha berkenaan.

 

BERITA BERKAITAN:

 

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN