fb fb fb fb fb

Tragedi bas UPSI: JPJ teliti tindakan lanjut termasuk pembatalan permit

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Aedy Fadly Ramly dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Lesen Program MyLesen B2 peringkat Negeri Terengganu, di Kuala Nerus

KUALA NERUS, 19 Julai -Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap pemandu dan syarikat pengendali bas tragedi penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramly berkata, ketika ini pemandu bas terbabit masih melalui proses perundangan di mahkamah yang dikendalikan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, JPJ akan turut meneliti beberapa aspek bawah bidang kuasa agensi itu untuk tindakan lanjut terhadap pihak terlibat.

Ini termasuk kemungkinan pembatalan permit syarikat tersebut berdasarkan laporan awal yang dikeluarkan pasukan petugas khas Kementerian Pengangkutan semalam.

"Tetapi di peringkat JPJ pula kita ada beberapa tindakan yang sedang kita ambil terutamanya berkaitan dengan pengendali syarikat. Yang itu kita sedang perincikan dan memang telah ambil tindakan untuk membatalkan permit ini bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

"Dan ada beberapa perkara lagi kerana semalam kita telah lihat laporan awal yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan. Ada banyak perkara di situ dan ia bukan melibatkan agensi penguat kuasa semata-mata isu yang dibangkitkan yang dilaporkan dalam laporan tersebut, melibatkan keseluruahan sistem keselamatan jalan raya yang perlu dilihat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lesen Program MyLesen B2 peringkat Negeri Terengganu, di Kuala Nerus, hari ini.

Mengulas lanjut Datuk Aedy Fadly berkata, dalam laporan awal itu, analisis kinematik mendapati bas yang membawa penuntut UPSI tersebut dipandu pada kelajuan 117 kilometer (km) sejam ketika kejadian, berbanding had laju yang ditetapkan iaitu 60 km sejam.

Kegagalan mematuhi had laju itu menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum bas tergelincir dan terbalik ke bahagian kiri jalan. Siasatan juga mengenal pasti kedua-dua pemandu bas terbabit mempunyai rekod kesalahan lalu lintas yang tinggi. 

Pemandu pertama mempunyai sebanyak 18 saman tertunggak manakala pemandu kedua mencatatkan lebih 20 saman gabungan yang masih belum diselesaikan.

TETITIA YUSOFF