KUCHING, 28 Mac –Tradisi bertuntong, atau menghias rumah menggunakan lampu pelita minyak tanah menjelang Aidilfitri, tetap menjadi amalan yang sinonim dalam kalangan masyarakat Sarawak.
Tinjauan RTM di sekitar bandaraya Kuching mendapati kemeriahan Syawal semakin terasa dengan gabungan lampu elektrik moden berwarna-warni serta lampu pelita tradisional yang menerangi halaman rumah.
Hiasan ini bukan sahaja menyerikan suasana Aidilfitri, malah menjadi simbol kegembiraan menyambut kepulangan ahli keluarga ke kampung halaman.
Seorang warga emas,Mahli Udin, 71 tahun, yang menetap di Kampung Nombor Lima, berkata bahawa tradisi memasang pelita minyak tanah ini telah diamalkan sejak lebih 20 tahun lalu.
Menurut datuk kepada lima orang cucu itu, walaupun lampu elektrik moden lebih mudah dipasang, beliau tetap memilih menggunakan pelita minyak tanah bagi mengekalkan warisan budaya agar tidak hilang ditelan zaman.
"Saya mahu generasi muda meneruskan tradisi ini. Mereka mesti kekalkan bertuntung kerana ia sebahagian daripada budaya masyarakat Melayu," katanya.
Tahun ini, dengan bantuan anak-anak dan cucunya, sebanyak 250 pelita telah dipasang bersama lampu elektrik moden berwarna-warni, selari dengan perubahan zaman.
Sementara itu, Zulaikha Ramzi, 35 tahun, berkata idea menghias rumah keluarganya di Kampung Nombor Tiga dengan mengekalkan tradisi bertuntung adalah hasil usaha dan sumbangan ahli keluarga.
Menurutnya, tema yang dipilih tahun ini ialah "Melayu Tradisional Klasik", bertujuan mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak.
“Kami mahu mengimbau kenangan lama semasa kecil. Pelita bukan sahaja menerangi malam, tetapi juga memeriahkan suasana malam Tujuh Likur,” katanya.
Semangat untuk mengekalkan warisan budaya ini membuktikan bahawa tradisi bertuntung masih utuh dalam kalangan masyarakat Sarawak, meskipun berdepan dengan arus pemodenan.