MERLIMAU, 29 Mac – Kerajaan Negeri Melaka bakal mengeluarkan beras putih tempatan, dikenali sebagai "Beras Melaka", bagi menambah stok bekalan beras tempatan di pasaran.
Beras ini dijangka berada di pasaran pertengahan April, sebagai usaha memastikan bekalan makanan lebih stabil dan mampu milik untuk rakyat negeri ini.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Datuk Dr Akmal Saleh, berkata bahawa penjualan Beras Melaka akan dikendalikan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka.
Menurutnya, pengeluaran pertama akan dijalankan secara kecil-kecilan dengan 3,000 paket beras hasil tanaman padi dari seluruh negeri.
"Kita akan jual di outlet FAMA, pasar tani dan lokasi lain yang sesuai. Jika diurus dengan baik, insya-Allah manfaat ini akan sampai kepada petani dan rakyat yang dapat membeli pada harga lebih murah", katanya demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Program Semarak Syawal Peringkat Negeri Melaka di sini.
Tambahnya, pengeluaran secara besar-besaran akan bermula pada Julai, sekali gus memberi impak lebih besar kepada pasaran tempatan.