KUALA TERENGGANU, 29 Mac – Tanpa meletakkan sebarang syarat, seorang pemilik perniagaan pakaian dan alat permainan di Kuala Terengganu telah menyumbangkan sebahagian besar pakaian baharu kepada golongan asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.
Pemilik kedai Spark Hobby’s Toys, Mohd Azrol Azhar, pada mulanya berniat untuk menyumbangkan bantuan hanya kepada penduduk di sekitar premis perniagaannya. Namun, hatinya tergerak untuk memperluaskan sumbangan kepada lebih ramai individu yang memerlukan.
"Pada asalnya, niat saya hanya untuk bersedekah kepada penduduk kampung saya.
"Namun, saya rasa sesiapa sahaja yang layak dan benar-benar memerlukan, saya akan berikan tanpa syarat dan saya halalkan," katanya ketika ditemui oleh RTM di sini.
Inisiatif berkenaan mendapat sambutan baik daripada masyarakat setempat, yang menyifatkan sumbangan tersebut sebagai satu usaha murni dalam membantu mereka yang kurang berkemampuan menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria.