
KUALA LUMPUR, 23 Januari – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap Indonesia membuka ruang lebih luas kepada karya Malaysia, khususnya buku dan hasil seni bagi memperkukuh hubungan budaya dan intelektual kedua-dua negara.
- Menggesa Indonesia buka ruang lebih luas untuk buku dan hasil seni Malaysia bagi memperkukuh hubungan budaya dan intelektual.
- Mahu peluang rakaman dan pengedaran karya muzik Malaysia di Indonesia tanpa sekatan supaya hubungan serumpun lebih seimbang.
- Menuntut penayangan filem Malaysia di Indonesia dipertingkatkan dan PAPTI bertindak sebagai jambatan bukan rasmi rakyat kedua negara.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, langkah itu penting kerana pertukaran karya kreatif ketika ini masih tidak seimbang walaupun hubungan Malaysia–Indonesia telah lama terjalin erat.
“Kita lihat dengan mudah buku-buku dari Indonesia dibawa masuk ke Malaysia, kenapa buku dari Malaysia tidak boleh dibawa masuk ke Indonesia? Kubu ini harus dipecahkan dan kita mesti membuka ruangan seluas-luasnya di dalam pertukaran ilmu ini melalui buku.
“Kalau lagu-lagu dari Indonesia boleh dibawa ke negara kita dan lagu kita boleh dibawa ke Indonesia tetapi dengan syarat dirakam di Indonesia. Ini mesti diberikan ruangan yang luas kepada artis Malaysia untuk merakam di Malaysia dan hasil itu diedarkan di seluruh Indonesia, barulah benar-benar serumpun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Perdana sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia di Malaysia (PAPTI), di sini.
Pada masa sama, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyentuh isu penayangan filem Malaysia di Indonesia yang masih terhad berbanding filem Indonesia di Malaysia.
“Kita lihat mudahnya filem Indonesia untuk ditayang di negara kita dan jarang sangat filem kita dapat ditayangkan di Indonesia kecuali filem Mat Kilau,” katanya.
Katanya, beliau berharap hubungan Malaysia–Indonesia terus diperkukuh bukan sahaja melalui diplomasi rasmi, malah melibatkan aspek budaya, bahasa dan pemikiran.
Beliau menegaskan hubungan serumpun kedua-dua negara yang terbukti kukuh sepanjang sejarah wajar dipelihara, justeru sebarang isu yang boleh menjejaskannya perlu dielakkan.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak seperti PAPTI berperanan sebagai jambatan tidak rasmi bagi merapatkan hubungan rakyat kedua-dua negara.