PUNCAK ALAM, 19 Mei- Kerajaan akan memberi peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di 34 kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) seluruh negara.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, peruntukan tersebut akan diagihkan bermula pertengahan tahun ini.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata peruntukan yang diagihkan itu perlulah digunakan dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
"Peruntukan itu kita beri sebagai usaha untuk menangani permasalahan dalam kalangan pelajar terutama pelajar yang datang dari keluarga yang tidak berkemampuan.
Contohnya, kegunaan aktiviti motivasi dan sebagainya. Mungkin boleh diguna pakai ketika cuti panjang atau cuti semester. Mereka boleh ke kawasan desa untuk membantu anak-anak desa bagi memberikan motivasi untuk memasuki Institut Pengajian Tinggi (IPT)," kata Zahid kepada media selepas Majlis Riang Ria Anjuran MPP UiTM.
(FOTO BERNAMA)
Tambah Zahid, sekiranya peruntukan tersebut digunakan mengikut garis panduan yang betul, ia akan ditambah lagi menjelang akhir tahun ini.