fb fb fb fb fb

Tol percuma di Lebuhraya SPE sehingga 2 Disember ini

Lebuhraya SPE dibuka kepada pengguna bermula pukul 11:59 malam ini

KUALA LUMPUR, 3 November- Lebuhraya Setiawangsa Pantai (SPE) dibuka sepenuhnya secara rasmi kepada pengguna bermula pukul 11:59 malam ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian tol percuma turut diberikan kepada pengguna lebuh raya selama sebulan sehingga 2 Disember depan.

Ia akan melibatkan Plaza Tol Chan Sow Lin, Plaza Tol Ampang dari Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) menuju ke SPE dan Plaza Tol Setiawangsa (arah selatan dan utara).

Selepas tempoh tol percuma itu, pengguna akan membayar kadar tol RM3.50 bagi kenderaan kelas satu.

"Dengan siapnya lebuh raya ini, masa perjalanan satu jam setengah dapat dikurangkan kepada 35 minit dan ia sebagai jalan pintas kepada beberapa tempat sebab lebuh raya ini berhubung dengan beberapa lebuh raya lain.

"Jadi, ini semestinya meningkatkan keselesaan dan kegunaan lebuh raya di Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pembukaan SPE di sini.

Lebuhraya SPE dibahagikan kepada empat seksyen utama iaitu Kerinchi-Salak (Seksyen 1), Salak-Pandan (Seksyen 2), Pandan-Setiawangsa (Seksyen 3) dan Setiawangsa-Taman Melati (Seksyen 4); dengan jarak keseluruhan 20.7 kilometer, tiga laluan lorong dua hala dan tujuh persimpangan bertingkat.

Ia turut menghubungkan beberapa lebuh raya antaranya Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya AKLEH, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE) dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) bagi meningkatkan kecekapan rangkaian lebuh raya di Kuala Lumpur.

SITI AISHAH BINTI MD ISA