fb fb fb fb fb

"Ibu bapa saya masih gagal dihubungi" - Pelajar Palestin di UTM

Mohammed  Z.M Qaddoura dan Ahmed Khalaf

JOHOR BAHRU, 3 November- Seorang pelajar warga Palestin yang menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memaklumkan dia masih tidak mengetahui nasib ibu bapa dan keluarganya di Gaza.

Mohammed  Z.M Qaddoura berkata, keluarnya gagal dihubungi sejak bumi Gaza diserang tentera zionis pada 7 Oktober lalu.

"Saya cuba menghubungi ibu dan ayah serta keluarga, tetapi mereka gagal menjawab panggilan.

"Saya percaya akan ada seseorang menelefon atau menghantar mesej memberitahu bahawa mereka semua telah syahid (meninggal dunia), katanya yang menyertai perhimpunan solidariti warga UTM terhadap Palestin di sini.

Sementara itu, Ahmed Khalaf menyifatkan kekejaman zionis tidak wajar kerana pihak tersebut menyasarkan orang awam yang tidak berdosa.

"Saya mengutuk tindakan memutuskan bekalan makanan, elektrik dan barangan sejak 7 Oktober dan melakukan perbuatan membunuh setiap hari.

"Sehingga kini 2,510 pelajar sekolah telah terbunuh dan hampir ribuan orang awam dibunuh akibat pengeboman yang tidak terkira," tegasnya.

Dalam pada itu, lebih 1,000 warga UTM turun menunjukkan tanda sokongan terhadap Palestin melalui perhimpunan dan perarakan solidariti di sekitar Lingkaran Ilmu serta Dataran Agora, UTM, Skudai, di sini.

Kementerian Kesihatan Gaza merekodkan sejumlah 9,227 penduduk meninggal dunia kebanyakan kanak-kanak dan wanita akibat serangan 'berdarah' oleh Israel.

SITI AISHAH BINTI MD ISA