PULAU TIOMAN, 3 November- Pusat Bersalin Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman yang telah dinaik taraf bermula Februari tahun lalu telah menerima kelahiran bayi lelaki yang pertama pagi tadi.
”Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa telah menerima kelahiran selamat yang pertama pada 3 November 2023 jam 7.32 pagi.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Indera Dr Nor Azimi Yunus dalam satu kenyataan berkata, keadaan ibu yang merupakan peniaga kedai makan dan bayi yang dilahirkan seberat 3.2 kilogram adalah stabil dan baik.
Menurut Nor Azimi klinik berkenaan telah dinaik taraf dengan kelengkapan peralatan perubatan yang terkini melalui kurniaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Februari tahun lalu sebanyak RM2.9 juta.
Dr Nor Azimi turut merafak sembah, menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan kurniaan kepada Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman.
”Perkhabaran gembira ini telah dimaklumkan ke sisi Tuanku dan baginda berkenan mengurniakan sumbangan kepada keluarga dan kepada bayi melalui simpanan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) atas nama bayi tersebut nanti,” ujarnya.