GEORGE TOWN, 16 Ogos - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menampilkan tiga buah kapal perang, iaitu KD Kedah, KD Lekiu dan KD Lekir pada Eksesais Tentera Laut Multilateral ASEAN (AMNEX) ke-3 yang berlangsung di Pulau Pinang mulai hari ini hingga 22 Ogos depan.
Acara ketenteraan maritim yang diadakan bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia itu terbahagi kepada dua bahagian, iaitu fasa pelabuhan dan fasa di laut.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Mesyuarat Panglima Tentera Laut Negara ASEAN (ANCM) ke-19, Laksamana Muda Datuk Mohd Fadzli Kamal Mohd Mohaldin berkata, eksesais yang melibatkan 10 buah negara itu bertujuan meningkatkan kerjasama, di samping memberi jaminan keselamatan terhadap perairan serantau.
"Eksesais ini dipecahkan kepada dua bahagian, iaitu fasa pelabuhan yang dilaksanakan semasa upacara pembukaan dan perbincangan pegawai-pegawai operasi sebelum melangkah ke fasa dua, iaitu fasa di laut yang bermula 20 hingga 22 Ogos. Selain itu, kapal-kapal terlibat akan turut melakukan lintas hormat dalam segmen 'ASEAN Fleet Review'.
"Eksesais ini membolehkan tentera laut negara-negara ASEAN bekerjasama bagi memastikan keselamatan perairan maritim serantau sentiasa terjamin," katanya selepas Majlis Pembukaan AMNEX di Terminal Pelayaran Jeti Swettenham Pulau Pinang di sini, hari ini.