fb fb fb fb fb

TLDM sahkan 13 kapal tentera laut asing sertai LIMA'23

(FOTO RTM)

LUMUT, 27 April- Sejumlah 13 kapal tentera laut asing sudah mengesahkan penyertaan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeorangkasa 2023 (LIMA’23).

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, pihaknya masih menunggu pengesahan dari dua lagi negara untuk terlibat dalam pameran yang dijadual berlangsung pada 23 hingga 27 Mei depan. 

"Sehingga kini, saya difahamkan 13 buah kapal tentera laut asing mengesahkan kehadiran.

"Manakala dua buah negara belum mengesahkan lagi penyertaan dan TLDM berharap mereka dapat menyertai pameran LIMA kali ini", katanya ketika ditemui pada sidang media sempena Istiadat Perbarisan Sambutan Ulang Tahun TLDM ke-89 di Padang Kawad KD Pelandok di sini.

Kali terakhir pameran LIMA dianjurkan adalah pada 2019 sebelum dibatalkan pada 2021 akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, Abdul Rahman Ayob memberitahu projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) dijangka bersambung semula, tiga bulan selepas kontrak tambahan keenam ditandatangani. 

Beliau juga berkata Kementerian Pertahanan sedang meneliti kontrak tersebut yang akan menyaksikan beberapa pindaan termasuk tempoh masa pelaksanaan projek selain kos yang diperlukan.

Jelasnya lagi, perjanjian tersebut diharap dapat disiapkan dan ditandatanganisecepat mungkin.

"Jika perjanjian (kontrak) itu dimuktamadkan, kita berharap projek LCS dapat dimulakan semula secepat mungkin".

Terdahulu Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata projek LCS tetap akan diteruskan dan kapal pertama dijangka beroperasi pada 2026.

(Foto hiasan/ Foto RTM)

Media Baharu