
ALOR GAJAH, 29 Ogos – Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar siasatan menyeluruh dijalankan terhadap dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) adalah selari dengan prinsip ‘tabayyun‘ dan amanah dalam Islam.
- Perlunya siasatan teliti kerana Tabung Haji adalah institusi yang rapat dengan umat Islam.
- Kepakaran syariah diperlukan untuk menilai operasi dan pengurusan TH dari sudut hukum Islam.
- Ketelitian, ketelusan, akauntabiliti dan integriti merupakan elemen penting dalam tadbir urus menurut maqasid syariah.
- Siasatan menyeluruh mesti merangkumi aspek kewangan dan sumber dana, berpandukan kaedah fiqh serta maqasid syariah.
Ia bagi memastikan siasatan yang dilakukan diteliti terlebih dahulu tanpa membuat sebarang andaian.
Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Kampus Lendu, Dr. Md. Azzaat Ahsanie Lokman berkata, perkara itu penting memandangkan TH adalah institusi kewangan yang dekat dengan umat Islam.
Beliau menyifatkan kepakaran syariah mampu membantu RCI meneliti isu berkaitan operasi dan pengurusan TH terutama dari sudut hukum Islam.
“Maka ketelitian dalam penyelidikan, siasatan, semakan dan sebagainya perlu dipertingkatkan kerana institusi Tabung Haji merupakan sebuah institusi yang sangat dekat dengan umat Islam.
“Ketelitian itu amat penting. Kalau kita lihat dari sudut tadbir urus Islam, ketelitian, ketelusan, kecekapan, akauntabiliti dan integriti sebenarnya merupakan sebahagian daripada maqasid syariah dalam tadbir urus itu sendiri.
“Maknanya, dalam melaksanakan semakan, siasatan, pendakwaan dan sebagainya, kita tidak boleh mengambil mudah,” katanya kepada RTM.
Menurut Dr. Md. Azzaat, penelitian secara menyeluruh perlu merangkumi pelbagai aspek termasuk kewangan, sumber dana dan sebagainya.
Kaedah fiqh dan maqasid syariah boleh dijadikan sebagai panduan dalam siasatan RCI.