KUALA LUMPUR, 19 Disember- Tujuh perusahaan yang terlibat dalam aktiviti tipuan bida melibatkan empat tender pembekalan barangan dan perkhidmatan dianggarkan berjumlah RM20.8 juta dikeluarkan Kementerian Pertahanan, diarah mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh 30 hari dari tarikh Keputusan Cadangan diterima perusahaan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya telah mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap tujuh (7) perusahaan terlibat, iaitu Agenda Eksklusif Sdn. Bhd., Nekad Waja Resources, Star Apax Enterprise, Prospectrum Sdn. Bhd., Spectron Sdn. Bhd., Teknokrat Makmur Enterprise dan NK Panorama Enterprise.
Berdasarkan siasatan awal, MyCC mendapati ke semua perusahaan tersebut telah berpakat semasa mengemukakan tawaran untuk tender berkenaan. Siasatan turut mendedahkan bahawa perusahaan telah berkongsi maklumat antara satu sama lain, menyediakan bersama dalam mengemukakan tawaran tender dan menawarkan perjanjian sub-kontrak sebagai ganjaran.
“Perlu ditekankan di sini bahawa penemuan MyCC melalui Keputusan Cadangan adalah dapatan awal hasil penyiasatan, maka tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan telah melanggar Akta Persaingan 2010 pada peringkat ini. Tujuh perusahaan itu kini mempunyai peluang untuk mengemukakan representasi bertulis mereka dalam tempoh 30 hari dari tarikh Keputusan Cadangan ini disampaikan kepada mereka,” jelas Iskandar.
Menurut MyCC, perusahaan itu juga boleh memilih untuk membentangkan representasi mereka secara lisan pada tarikh yang akan ditentukan kelak, setelah MyCC menerima representasi bertulis dari perusahaan tersebut.
“MyCC sebagai badan separa kehakiman, setelah mendengar dan mempertimbangkan representasi bersama bukti yang dikumpul dalam proses penyiasatan, akan mengeluarkan Keputusan Akhir sama ada terdapat dapatan pelanggaran atau tiada pelanggaran di bawah Akta Persaingan 2010,” menurut kenyataan itu.
Kartel tipuan bida menyaksikan para pesaing bersepakat untuk memanipulasi proses bidaan bagi perolehan awam; telah lama menjadi isu kepada kerajaan dan juga orang ramai.
Kesan kartel tipuan bida bukan sahaja menyebabkan kenaikan harga bagi projek-projek dan perkhidmatan awam tetapi juga menyekat inovasi dan menjadi penghalang kemasukan pemain baharu dalam pasaran.
“Akhirnya, rakyat yang terpaksa menanggung kerugian akibat dari kenaikan kos dan hal ini juga mengundang kepada pembaziran dana awam, tegas MyCC.
Langkah mendedahkan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap perusahaan terlibat dengan kartel tipuan bida dibuat MyCC bagi memastikan wujud peluang sama rata untuk setiap pemain pasaran dalam mencegah ketirisan dana kerajaan.
Menurut Iskandar, pihaknya akan terus berusaha tanpa henti bagi membongkar dan memecahkan lebih banyak kartel tipuan bida ini. Kajian menyeluruh dan analisis teliti MyCC telah membawa kepada penyiasatan yang melibatkan lebih daripada 500 syarikat bagi tender bernilai lebih daripada RM2 bilion.
“Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas keterbukaan dan kerjasama jitu Kementerian Pertahanan. Justeru, kami ingin menggesa semua agensi kerajaan di peringkat persekutuan, negeri dan tempatan untuk mengikut jejak langkah Kementerian Pertahanan terlibat secara aktif dan bekerjasama dengan MyCC dalam usaha kerajaan untuk menangani tipuan bida dalam perolehan awam,” tambah Iskandar.