KUALA LUMPUR, 6 April - Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, beberapa hari lagi, sudah pasti umat Islam akan melakukan pecutan akhir untuk berbelanja persiapan Hari Raya dijangka pada Rabu ini.
Bagaimanpun, situasi kos rasa hidup yang semakin meningkat memaksa peniaga dan juga pembeli untuk berbelanja dengan sederhana.
Tinjaun Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) sejak 11 pagi sehingga 1.30 petang tadi mendapati Bazar Aidilfitri di kawasan itu tidak sesak dengan pengunjung.
Beberapa peniaga Bazar Aidilfitri di Jalan TAR berkata, trend perbelanjaan di Jalan TAR pada tahun ini kelihatan agak perlahan dan tidak serancak pada tahun sebelumnya meskipun kedai mereka dikunjungi orang ramai.
"Pilihan dan harga itu tak lah berbeza dengan tahun-tahun sebelum. Cuma orang kata daripada pemerhatian secara rambang kuasa membeli itu kuranglah," kata Khairul Muttalib
"Tahun ini kalau dibandingkan dengan tahun-tahun lepas agak perlahanlah. Harga barang naik kan, jadi orang berbelanja secara berhemah. Orang belanja berhati-hati semua membuat pesiapan secara sederhana," kata Normalah Abd Rahman.
"Kami membuat perbelanjaan ikut kemampuan lah. Apa yang perlu sahaja kami beli, selain itu kami lebih berhati-hatilah dalam keadaan ekonomi yang tidak berapa elok sekarang ini kan," kata Zaharah Bohari.
"Jualan tahun ini perlahan sikit lah. tapi okay lah, semenjak penjawat awam menerima bantuan RM500 ini, jualan hari ini Alhamdullilah okay," kata Nor Elina.