fb fb fb fb fb

Tindakan Israel, penghinaan kepada suara kemanusiaan sejagat - TPM Fadillah

Aktivis Malaysia yang ditahan tentera rejim Israel/RTM

KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, mengecam keras tindakan Israel menahan kapal-kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang membawa sukarelawan serta bekalan penting ke Gaza.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai kezaliman yang memperlihatkan wajah sebenar rejim penjajah Israel yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa dan nyawa manusia.

“Misi ini bukan sahaja membawa bantuan, tetapi juga simbol solidariti, kasih sayang dan harapan dunia terhadap Palestin. Apa yang dilakukan Israel bukan sahaja kezaliman terhadap rakyat Gaza, malah penghinaan terhadap suara kemanusiaan sejagat,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Menurut Datuk Seri Fadillah, kerajaan akan menggunakan segala saluran sah dan diplomatik bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya apabila melibatkan keselamatan rakyat Malaysia yang berada dalam misi berkenaan.

“Keselamatan rakyat kita menjadi keutamaan dan dalam hal ini kerajaan tidak akan berkompromi,” tegasnya.

Beliau menambah, Malaysia akan terus lantang bersuara di peringkat antarabangsa, mendesak agar keadilan ditegakkan dan hak rakyat Palestin dikembalikan.

“Kemanusiaan tidak boleh dijadikan tebusan. Malaysia berdiri teguh bersama Palestin sehingga keadilan dan kebebasan menjadi milik mereka,” katanya.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI