KANGAR, 2 Oktober -Seramai sembilan bayi yang dilahirkan di Hospital Tuanku Fauziah, di sini pada 1 Oktober lalu diraikan sempena Program Sentuhan Kasih anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Perlis, Madihah Muhammad berkata, program itu merupakan kali ketiga dilaksanakan oleh JPN Perlis dengan kerjasama Hospital Tuanku Fauziah dan bertujuan membawa keceriaan kepada setiap ibu yang menerima cahaya mata.
"Bayi-bayi ini perlu didaftarkan di mana-mana pejabat JPN yang berdekatan dalam tempoh 60 hari. Jadi ibu bapa perlulah hadir dalam tempoh 60 hari itu untuk mendaftarkan kelahiran bagi mengelakkan pendaftaran lewat kelahiran," katanya pada Program Sentuhan Kasih Jabatan Pendaftaran Negara bersempena Sambutan Hari Pendaftaran Negara Ke-77, di sini.
Program tersebut merupakan satu inisiatif JPN untuk meraikan bayi yang baru dilahirkan pada 1 Oktober setiap tahun, sempena sambutan Hari Pendaftaran Negara.
Melalui program tersebut, JPN akan mengunjungi hospital terpilih bagi menyampaikan sumbangan dan ucapan tahniah kepada ibu-ibu yang melahirkan bayi pada tarikh istimewa tersebut.
Bertemakan "Memperkasa Identiti, Memperkukuh Negara", sambutan Hari Pendaftaran Negara kali ini memberikan fokus terhadap kepentingan menjaga kad pengenalan serta dokumen penting yang dimiliki setiap individu supaya semua menerima pelbagai keistimewaan yang diberikan kerajaan.