
PARLIMEN, 26 Februari – Tindakan penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap tapak Street Dakwah di Bukit Bintang, tiada kaitan isu dakwah sebaliknya susulan aduan orang awam berhubung pemasangan kanopi tanpa kebenaran.
- DBKL bertindak susulan aduan tentang pemasangan kanopi tidak berlesen di tapak Street Dakwah Bukit Bintang.
- Hannah Yeoh menegaskan tindakan bukan berkaitan kegiatan dakwah seperti dakwaan pihak tertentu.
- Pasukan DBKL hadir meninjau, memeriksa kemungkinan vandalisme dan menunggu wakil sekitar 30 minit.
- Barangan seperti kerusi, meja lipat, khemah dan troli diambil sebagai langkah penguatkuasaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata pasukan DBKL turun ke lokasi bagi meninjau keadaan serta memeriksa kemungkinan berlakunya vandalisme.
Menurut beliau, pihak DBKL turut menunggu kira-kira 30 minit di lokasi, namun tiada wakil tampil sebelum tindakan lanjut diambil.
“Barangan yang diambil termasuk kerusi, meja lipat, khemah dan troli beroda. Ini bukan isu dakwah, sebaliknya isu aduan berkaitan pemasangan kanopi di tapak tersebut,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang ingin tahu tindakan penguatkuasaan DBKL terhadap tapak Street Dakwah di Bukit Bintang, di sini, baru-baru ini.