LONDON, 2 Jun - Tiga universiti di United Kingdom bersetuju memberikan diskaun yuran tuisyen 10 hingga 20 peratus kepada pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA), kata Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata diskaun hasil daripada perbincangan yang dilaksanakan MARA dengan pengurusan tertinggi universiti terbabit mampu menjimatkan kos pengajian lebih RM100,000 setahun bagi seorang pelajar.
Tiga universiti itu ialah Universiti Warwick dan Universiti Birmingham, masing-masing memberikan 20 peratus diskaun manakala 10 peratus oleh Universiti Edinburgh.
“Dari segi nilai contohnya Universiti Warwick. Pengurangan hingga 6,000 GBP (Great Britain Pound) setahun maknanya kalau program prasiswazah sekarang tiga tahun maknanya bersamaan 18,000 GBP lebih kurang sekitar RM110,000 setahun yang menjimatkan penghantaran pelajar-pelajar MARA,” katanya pada sidang media di sini pada Ahad.
Asyraf Wajdi berada di United Kingdom bagi mengadakan pertemuan strategik bersama pengurusan tertinggi dan profesor kanan terkemuka di Universiti Cambridge serta beberapa universiti lain di sini.
Asyraf Wajdi berkata pada masa ini terdapat 1,508 pelajar tajaan MARA melanjutkan pengajian di United Kingdom.
Dalam pada itu, beliau berkata Cambridge University’s Trust telah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan MARA bagi berkongsi pembiayaan pelajar penyelidikan pascaijazah di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).
“Insya-Allah jika semua perincian dipersetuju, MARA boleh jimat hingga RM5 juta dengan penghantaran pelajar ke sini.
“Inisiatif kerjasama ini adalah sebahagian daripada agenda strategik MARA untuk memastikan anak-anak bangsa tidak hanya bersaing di peringkat nasional, malah mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di pentas akademik dan profesional antarabangsa,” katanya.
Selain itu, katanya Universiti Cambridge juga telah menyatakan persetujuan untuk menghantar delegasi ke Malaysia bagi mengadakan sesi libat urus bersama pihak Maktab Rendah Sains Mara International General Certification of Secondary Education (MRSM IGCSE) serta guru kaunselor.
Beliau berkata ia selaras dengan keputusan MARA yang berhasrat membina laluan akademik khas bagi pelajar MRSM menempatkan diri di universiti terkemuka dunia.
Asyraf Wajdi berkata selain itu, pertemuan juga akan membuka peluang kepada 9,987 warga pendidik MARA di seluruh Institusi Pendidikan MARA (IPMA) meliputi kolej kemahiran, universiti MARA dan MRSM untuk pertukaran kepakaran.
“Para pendidik ini juga berpeluang untuk menjalankan penyelidikan bersama serta meneroka peluang melanjutkan pengajian di peringkat pascasiswazah dalam bidang strategik di Cambridge.
“Ia seperti tenaga boleh baharu, kecerdasan buatan (AI), sains sosial, teknologi kuantum, rangkaian blok, IoT (Internet benda), inovasi keusahawanan dan pelbagai bidang baharu yang akan menjadi pemacu masa depan ekonomi dunia,” katanya. - BERNAMA