fb fb fb fb fb

MARA henti hantar pelajar ke AS, alih tumpuan ke negara lain

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika sidang media berkenaan lawatan kerja empat hari ke United Kingdom (UK) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di London/Foto BERNAMA

LONDON, 2 Jun – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memutuskan untuk menghentikan penghantaran pelajar tajaan ke Amerika Syarikat (AS) bermula tahun ini susulan perubahan dasar di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.

Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelajar tajaan MARA peringkat pra-universiti yang sebelum ini dirancang untuk melanjutkan pengajian ke AS akan dipindahkan ke negara lain.

Antaranya United Kingdom, New Zealand, Australia, Jepun dan China.

“Kita di peringkat Majlis MARA telah berbincang untuk tidak merisikokan pelajar yang sudah berada di kolej persediaan.

"Maka kita ambil langkah untuk menukar haluan pendidikan mereka ke negara lain yang menawarkan program setara tetapi lebih menjimatkan kos,” katanya kepada media ketika mengadakan lawatan kerja ke United Kingdom, semalam.

Beliau turut memaklumkan MARA kini sedang berunding dengan 266 pelajar tajaan yang sedang melanjutkan pengajian di AS bagi memudahkan pemindahan ke institusi pengajian tinggi di negara lain.

Katanya, ini termasuk kepakaran dalam bidang pengajian seperti sains komputer, kejuruteraan, robotik dan kecerdasan buatan (AI).

Dalam lawatan sama, Dr. Asyraf turut mengadakan pertemuan strategik bersama pengurusan tertinggi Universiti Cambridge bagi meneroka potensi kerjasama jangka panjang dalam bidang pendidikan serta pembangunan modal insan negara.

GRACE AISYAH KEDAYAN