
KUCHING, 24 Januari – Seorang wanita warga emas maut, manakala dua lagi masing-masing merupakan suami dan anak perempuannya cedera dalam satu kemalangan jalan raya di Batu 6, Jalan Penrissen Kuching, di sini petang tadi.
- Kereta dipercayai terbabas sendiri lalu melanggar pembahagi jalan di Batu 6, Jalan Penrissen Kuching petang tadi.
- Seorang wanita warga emas tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas KKM.
- Suami cedera ringan; anak perempuan mengalami kecederaan pada kepala dan kedua-duanya dihantar ke HUS.
- Operasi bomba melibatkan lima anggota dengan sebuah jentera FRT; operasi tamat pada pukul 5.23 petang.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, panggilan berkenaan kemalangan itu diterima pukul 3.32 petang.
Apabila pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Sentosa tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta dipercayai terbabas sendiri sebelum melanggar pembahagi jalan.
Seorang mangsa wanita, Siti Badariah Abdullah, 71 yang duduk di bahagian hadapan sebelah pemandu didapati tersepit di dalam kenderaan dan tidak sedarkan diri, manakala suami dan anaknya berjaya keluar dari kenderaan.
Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung sebelum petugas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat Siti Badariah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Sementara, pemandu kenderaan iaitu suami kepada mangsa, Baslie Sulaiman, 71 tahun dilaporkan cedera ringan, manakala anak perempuannya Siti Nur Asyikin, 35 mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut. Operasi melibatkan seramai lima anggota bomba dengan sebuah jentera FRT dan ditamatkan sepenuhnya pada pukul 5.23 petang.
Siti Badariah juga merupakan ibu kepada kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Siti Aiyshah Baslie yang bertugas di Unit Penolong Penyuntingan Berita di Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur.