fb fb fb fb fb

Tiga sekawan tersepit, dua maut

(Keadaan kereta yang terlibat kemalangan di Sri Gading, Johor)

BATU PAHAT, 9 April- Dua lelaki maut dan seorang lagi cedera akibat tersepit dalam kemalangan di Sri Gading, Jalan Kluang-Batu Pahat, Johor, sekitar pukul 12.40 tengah malam tadi.

Kemalangan melibatkan sebuah kereta yang dinaiki tiga sekawan itu yang terbabas dan merempuh dua buah kenderaan lain yang berada di dalam sebuah bengkel berdekatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) II Firdaus Ahmad ketika dihubungi berkata, dua mangsa berusia 19 tahun dan 22 tahun yang tersepit disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang cedera berusia 20 tahun berjaya menyelamatkan diri sebelum anggota bomba tiba di tempat kejadian.

Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

(Kereta yang dinaiki tiga mangsa terbabas dan merempuh dua kenderaan
di sebuah bengkel)

Media Baharu