fb fb fb fb fb

220 anak yatim di Kedah terima sumbangan Aidilfitri

(Tuanku Hajah Haminah Hamidun menyampaikan bantuan kepada anak yatim di daerah Yan)

YAN, 9 April- Seramai 220 anak yatim dari 11 daerah di Kedah menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri daripada Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) bagi tahun 2023.

Ahli Lembaga Pengarah YAYSH, Datuk Rosli Awang berkata, sumbangan diserahkan secara berperingkat di daerah berkenaan bermula dengan daerah Yan, semalam.

Beliau berkata, kesemua anak yatim berkenaan menerima bantuan berupa kelengkapan hari raya, duit raya dan hamper.

“Saya berharap dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu anak yatim sekalian bagi meringankan beban perbelanjaan membeli kelengkapan Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengurniaan dan Sumbangan Aidilfitri Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah tahun 2023 peringkat Daerah Yan di Masjid Sultanah Haminah, Dulang Kechil di sini.

Semalam, seramai 20 anak yatim dari daerah Yan menerima sumbangan itu yang disampaikan oleh Che Puan Besar Kedah, Tuanku Hajah Haminah Hamidun.

Ia merupakan acara tahunan yayasan berkenaan bagi membantu anak-anak yatim dari keluarga kurang berkemampuan di negeri tersebut.

Tahun lalu, seramai 120 anak yatim terlibat dalam penerimaan sumbangan YAYSH.

Sementara itu, Pegawai Daerah Yan, Mohamad Subhi Abdullah yang turut hadir pada majlis itu berkata, penerima sumbangan daripada daerah terbabit melibatkan enam pelajar lelaki dan tiga pelajar perempuan sekolah menengah serta lima murid lelaki dan lima murid perempuan sekolah rendah.

“Sumbangan yang diberikan oleh YAYSH ini amat istimewa sekali dan begitu bermakna kepada mereka yang memerlukan. Ia sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban para penerima dan keluarga bagi menyambut Syawal yang akan menjelang tiba," katanya.

(Tuanku Hajah Haminah Hamidun (duduk,tengah) bersama anak-anak yatim di daerah Yan)

Media Baharu