SHAH ALAM, 31 Mac - Tiga buah rumah teres setingkat di Taman Sri Gadong, Klang dekat sini musnah dalam kebakaran malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ahmad Mukhlis berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11.09 malam sebelum menggerakkan 16 pegawai serta anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan, Klang Utara dan Andalas ke lokasi.
“Maklumat awal mendapati kebakaran hanya membabitkan sebuah rumah teres. Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut mendapati kejadian itu membabitkan tiga rumah," katanya menerusi satu kenyataan.
Kebakaran dipadamkan pada 11.45 malam manakala jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.